Bermula Rabu, 11 Mei 2022 hingga 19 Mei 2022, bergantung pada keadaan cuaca dan lokasi pemerhati, pemerhati di Malaysia berpeluang melihat lintasan stesen angkasa International Space Station (ISS) dengan mata kasar.
Lintasan ISS boleh dilihat dengan mata kasar di Malaysia beberapa ketika selepas Matahari terbenam bermula 11 Mei hingga 14/15 Mei, bergantung pada lokasi pemerhati di Malaysia. Kemudian lintasan ISS boleh dilihat beberapa ketika sebelum Matahari terbit bermula 14/15 Mei hingga 19 Mei.
Oleh kerana waktu lintasan bergantung pada lokasi pemerhati, pemerhati hendaklah menggunakan aplikasi seperti Heavens-Above atau ISS Detector untuk mendapatkan masa dan arah lintasan yang tepat.
Untuk hari ini, Rabu, 11 Mei 2022, terdapat 2 waktu lintasan ISS yang boleh dilihat dengan mata kasar dari Malaysia. Lintasan pertama bermula kira-kira 7:45 PM waktu Malaysia dengan lintasan sesuai diperhatikan dari Malaysia Timur dan lintasan akan kelihatan rendah di ufuk sebelah timur untuk pemerhati di Semenanjung Malaysia.




Lintasan ISS kedua yang boleh dilihat dengan mata kasar pada 11 Mei 2022 oleh pemerhati di Semenanjung Malaysia bermula kira-kira 9:22 PM waktu Malaysia. Lintasan ISS akan kelihatan rendah di ufuk sebelah barat.


Selain itu, bermula 13 Mei 2022, kira-kira 1:00 PM waktu Malaysia hingga 17 Mei 2022, kira-kira 3:00 AM waktu Malaysia, ISS akan sentiasa menerima cahaya daripada Matahari ketika mengorbit Bumi walaupun ketika melintasi permukaan Bumi yang gelap yang sedang berada pada waktu malam.

Keadaan ini berlaku kerana ISS mengalami keadaan sudut beta tinggi. Sepanjang tempoh ini, ketika ISS melintasi permukaan Bumi yang gelap, ISS masih terbang berdekatan garis sempadan siang malam menyebabkan ISS masih menerima cahaya daripada Matahari dan tidak dilindungi oleh bayang Bumi kerana faktor arah Matahari berbanding arah orbit ISS.
Struktur ISS yang sentiasa menerima cahaya daripada Matahari sepanjang tempoh ini mungkin boleh dilihat melalui 2 penstriman langsung daripada ISS di:
Kemas kini: 2022-05-11, 18:27:51