Lihat lintasan ISS melintasi langit Malaysia bermula 9 April 2022

Musim melihat lintasan stesen angkasa International Space Station (ISS) dengan mata kasar tiba lagi di Malaysia!

Bermula Sabtu, 9 April 2022 sehingga beberapa hari akan datang, bergantung pada lokasi pemerhati dan keadaan cuaca, pemerhati di Malaysia berpeluang untuk melihat lintasan ISS dengan mata kasar beberapa ketika selepas Matahari terbenam dan kemudian beberapa ketika sebelum Matahari terbit.

Lintasan ISS di Malaysia pada 10 April 2022, bermula kira-kira 20:10 waktu Malaysia

Untuk hari ini, Ahad, 10 April 2022, bergantung pada keadaan cuaca, pemerhati di Semenanjung Malaysia dan barat Sarawak berpeluang melihat lintasan ISS dengan mata kasar bermula kira-kira 20:10 waktu Malaysia sebelum ISS dilihat memasuki bayang Bumi pada kira-kira 20:17.

Lintasan ISS tersebut akan dilihat terbit dari ufuk barat laut dan bergerak ke arah tenggara.

Untuk pemerhati di timur Semenanjung Malaysia, ISS akan dilihat melintas berhampiran Bulan.

Cerapan satelit cuaca Himawari-8 pada 17:10 waktu Malaysia menunjukkan keadaan awan di Asia Tenggara

Pemerhati disarankan untuk menggunakan aplikasi atau perisian seperti Heavens-Above atau ISS Detector untuk mengetahui masa dan arah lintasan dengan tepat berdasarkan lokasi pemerhati.

Kemas kini: 2022-04-10, 20:39:56