Eksperimen SSTV digital daripada ISS untuk ruang angkasa Eropah pada 20 Februari 2022

Pembetulan (2022-02-18, 00:22):

Ketika eksperimen SSTV tersebut berlangsung, ISS akan digunakan sebagai pengulang isyarat. Jadi, penerima yang berada di luar lintasan ISS tidak dapat menerima isyarat tersebut. Namun, penerima masih boleh cuba mendengar melalui halaman WebSDR.

Artikel asal:

Pasukan ARISS Europe dan ARISS USA dijadual melakukan eksperimen “slow-scan television” (SSTV) digital daripada stesen angkasa International Space Station (ISS) untuk ruang angkasa Eropah [1] [2] membolehkan pendengar isyarat radio menerima imej SSTV secara terus daripada ISS melalui gelombang radio.

Menurut laman web AMSAT Belgium [1], eksperimen SSTV digital tersebut dijadual dilakukan pada Ahad, 20 Februari 2022, 13:12 hingga 19:51 waktu Malaysia. Berdasarkan ramalan lintasan ketika artikel ini ditulis, ruang angkasa Malaysia turut mempunyai lintasan ISS dalam tempoh tersebut.

Isyarat radio SSTV digital tersebut dijadual dipancarkan pada frekuensi 437.800 MHz (selepas pembetulan anjakan Doppler). Setiap isyarat dijadual akan dipancarkan selama 1 minit 40 saat dengan jarak antara pancaran isyarat selama 1 minit 20 saat.

Menurut AMSAT Belgium lagi, perisian yang perlu digunakan untuk menyahkod imej SSTV digital tersebut ialah KG-STV. Perisian tersebut bersama imej dan audio contoh boleh dimuat turun melalui laman web AMSAT Belgium [1]. Modulasi MSK tanpa pembetulan ralat akan digunakan.

[1] https://www.amsat-on.be/ARISS-SSTV%20Experiments/

[2] https://www.amsat-on.be/archive/documents/ariss/ARISS_20220220_SSTV_experiment_Press_Release.pdf