Musim melihat lintasan stesen angkasa International Space Station (ISS) tiba lagi bermula 9 Januari 2022!

Musim melihat lintasan stesen angkasa International Space Station (ISS) dengan mata kasar tiba lagi di Malaysia!

Untuk beberapa hari akan datang bermula 8 Januari 2022, bergantung pada lokasi pemerhati dan keadaan cuaca, pemerhati di Malaysia berpeluang melihat lintasan ISS dengan mata kasar beberapa ketika selepas Matahari terbenam dan beberapa ketika sebelum Matahari terbit.

Setakat 10 Januari 2022, ramalan menunjukkan lintasan ISS boleh dilihat beberapa ketika selepas Matahari terbenam di Malaysia hingga 14 Januari 2022, manakala lintasan ISS yang boleh dilihat sebelum Matahari terbit bermula pada 12 Janauri 2022 hingga 17 Januari 2022, bergantung pada lokasi pemerhati.

Namun, ramalan ini dijangka berubah kerana ISS dijadual melakukan pembakaran pembetulan orbit pada 13 Januari 2022, 02:09 waktu Malaysia menggunakan enjin kapal angkasa Progress MS-18 selama 292.5 saat mengubah halaju ISS sebanyak 0.54 meter per saat. Pembetulan orbit ini dikira akan meningkatkan ketinggian orbit ISS sebanyak 850 meter menjadikan orbit purata ISS setinggi 417.73 km.

Fenomena ini terjadi kerana ketika lintasan ISS di ruang angkasa Malaysia, stesen angkasa tersebut masih menerima cahaya daripada Matahari kerana ia terbang tinggi ketika mengorbit Bumi walaupun permukaan Bumi telah atau masih gelap.

Ketika ingin melihat lintasan, pemerhati disarankan menggunakan aplikasi telefon pintar untuk memudahkan pencarian arah lintasan dan mendapatkan masa lintasan yang tepat. Contoh aplikasi yang baik untuk telefon pintar Android ialah Heavens-Above: https://play.google.com/store/apps/details?id=com.heavens_above.viewer

Pemerhati juga disarankan untuk memastikan maklumat orbit aplikasi ramalan lintasan sentiasa diperbaharui.

Untuk hari Ahad, 9 Januari 2022, lintasan ISS sesuai diperhatikan untuk pemerhati yang berada di barat dan selatan Sarawak bermula kira-kira 19:41 waktu Malaysia. Sebelum lintasan tamat, ISS akan dilihat memasuki bayang Bumi.


Selain itu, pemerhati di barat Semenanjung Malaysia juga mungkin berpeluang untuk melihat lintasan ISS pada hari Ahad (9 Januari 2022) bermula kira-kira 21:15. Namun, lintasan yang boleh dilihat dijangka pendek kerana ISS akan memasuki bayang Bumi ketika masih rendah berhampiran ufuk.


Gambar ISS: Oleg Novitskiy/Roscosmos

Kemas kini: 2022-01-10, 18:09:22