SATELIT MEASAT 3 DISAHKAN MENGALAMI ANOMALI, TIDAK LAGI BERADA DI SLOT 91.5º TIMUR

Satelit MEASAT 3 mungkin hilang kawalan di orbit geopegun Bumi, menurut analisis yang dilakukan oleh ExoAnalytics Solutions dalam satu laporan oleh SpaceNews pada 16 Julai 2021.

Dari apa yang kami lihat, ketika artikel ini mula ditulis, satelit MEASAT 3 kini tidak lagi berada di slot 91.5º Timur tetapi berada di longitud 84.69º Timur, dan sedang hanyut ke arah barat dengan kadar 0.27º sehari.

Satelit MEASAT 3 beroperasi di slot 91.5º Timur (MEASAT / arkib)

Perbandingan berdasarkan maklumat orbit terkini antara 3 satelit MEASAT 3, MEASAT 3A dan MEASAT 3B setakat 17 Julai 2021, 13:45 waktu Malaysia.

NAMA SATELIT/ID NORAD: APOGI x PERIGI, KECONDONGAN ORBIT (TEMPOH 1 ORBIT)
MEASAT 3/29648: 35,836.75 km x 35,778.08 km, 0.12º (23 jam 57 minit 3 saat)
MEASAT 3A/35362: 35,796.82 km x 35,777.95 km, 0.06º (23 jam 56 minit 2 saat)
MEASAT 3B/40147: 35,792.2 km x 35,781.44 km, 0.04º (23 jam 56 minit)

Maklumat orbit yang digunakan daripada Space-track setakat 17 Julai 2021, 13:45 waktu Malaysia:

MEASAT 3
1 29648U 06056A   21197.41299436 -.00000163  00000-0  00000-0 0  9995
2 29648   0.1152 114.3617 0006958 312.9589 100.6749  1.00197515 32469
MEASAT 3A
1 35362U 09032A   21197.50355551 -.00000238  00000-0  00000-0 0  9996
2 35362   0.0606 240.6575 0002238 282.1392  44.5175  1.00268962 44237
MEASAT 3B
1 40147U 14054B   21197.52206059 -.00000238  00000-0  00000-0 0  9993
2 40147   0.0410 324.7814 0001276 133.9921 115.2068  1.00270967 24894

Menggunakan maklumat orbit yang dikeluarkan oleh Space-track, berikut merupakan carta kadar hayut satelit MEASAT 3 bermula dari epok 22 Jun 2021, 6:56:35.259 waktu Malaysia hingga epok 18 Julai 2021, 06:39:42.668 waktu Malaysia.

Carta kadar hanyut satelit MEASAT 3 ke arah barat bermula dari epok 22 Jun 2021, 6:56:35.259 waktu Malaysia hingga epok 18 Julai 2021, 06:39:42.668 waktu Malaysia berdasarkan maklumat orbit yang dikeluarkan oleh Space-track.

Berdasarkan maklumat orbit MEASAT 3 yang dikeluarkan oleh Space-track, dapat diperhatikan bahawa kadar hanyut satelit MEASAT 3 ke arah barat mula meningkat secara beransur-ansur bermula dari epok 28 Jun 2021, 00:44:32.303 waktu Malaysia, dari 0.25º sehari ke 0.28º sehari.

Untuk kekal berada di slot operasi, satelit yang berada di orbit geosegerak Bumi, atau dalam konteks satelit komunikasi oleh MEASAT, di orbit geopegun Bumi, perlu mengekalkan tempoh 1 orbit sama dengan tempoh planet Bumi berputar pada paksinya iaitu 23 jam 56 minit dan 4 saat.

Orbit geosegerak Bumi adalah orbit dimana kapal angkasa biasanya berada di orbit bulat berketinggian 35,786 km dengan tempoh satu orbit sangat hampir dengan 23 jam 56 minit 4 saat. Orbit geoepgun Bumi adalah sejenis orbit geosegerak Bumi dengan kecondongan orbit 0º berbanding satah khatulistiwa.

Satelit-satelit yang aktif dan mempunyai misi kritikal biasanya perlu sentiasa melakukan pengurusan stesen seperti melakukan pembetulan orbit, atau melakukan pembetulan orientasi untuk kekal di orbit operasi dan menghala ke arah yang betul.

Bergantung pada jenis kapal angkasa, pengurusan stesen dilakukan dengan menggunakan sistem penujah atau menggunakan roda reaksi, atau kedua-duanya.

Terdapat beberapa gangguan semula jadi yang mungkin boleh mengubah orbit sesuatu satelit seperti faktor graviti planet Bumi yang tidak sekata, graviti dari objek semesta yang lain seperti Bulan, planet-planet berjisim tinggi seperti planet Musytari dan Zuhal, dan tekanan radiasi daripada Matahari.


MEASAT Global Berhad (MEASAT) hari ini (17 Julai 2021) mengeluarkan kenyataan (arkib) bahawa mereka masih melakukan siasatan bersama dengan Boeing Satellite Systems untuk mengetahui punca anomali tersebut.

Menurut kenyataan MEASAT, mereka masih menerima maklumat telemetri dan kawalan perintah dengan satelit MEASAT 3 sejak anomali dilaporkan pada 21 Jun 2021.

Menurut kenyataan itu juga, perkhidmatan yang menggunakan satelit MEASAT 3 telah dialihkan kepada satelit MEASAT lain dan satelit pihak ketiga yang menyediakan perkhidmatan ke kawasan yang sama.

Transponder pada satelit MEASAT 3 telah dinyahaktif bagi mengelakkan gangguan kepada operasi satelit lain.

Kawasan liputan Jalur-C dan Jalur-Ku satelit MEASAT 3 (MEASAT / arkib)

Satelit MEASAT 3 telah dilancarkan ke orbit pada 12 Disember 2006 dari Baikonur Cosmodrome, Kazakhstan, menggunakan roket Proton-M dan roket peringkat atas Briz-M.

MEASAT dijadual melancarkan sebuah satelit komunikasi baharu, MEASAT 3D yang menggunakan platform satelit Eurosat E3000 paling awal pada tahun 2022 menggunakan roket Ariane 5 dari Kourou, French Guiana.

Gambar: Ilustrasi satelit MEASAT 3D (Airbus Space)

Sejarah kemas kini

(2021-07-18, 15:19) Membetulkan carta, paksi x kini ialah julat data, bukan lagi teks. Carta dikemaskini hingga epok 18 Julai 2021, 06:39:42.668 waktu Malaysia.

(2021-07-18, 07:35) Menambah kadar hanyut berbanding masa berdasarkan maklumat orbit daripada Space-track. Pembetulan kadar hanyut sehari dari 0.25º ke 0.27º.


Kemas kini: 2021-07-18, 15:22:30